Saturday, March 17, 2007

Amalan Bid'ah Bebankan Keluarga Hadapi Kematian

Oleh: Abdullah Bukhari Abdul Rahim (Pensyarah Jabatan Tilawah al-Quran Pusat Bahasa UIAM)

Pengaruh kejahilan, adat serta faktor pemikiran sempit menyebabkan amalan salah berkaitan kematian berleluasa dalam masyarakat. Kesedihan keluarga si mati akan ditambah lagi dengan kesedihan lain seperti bebanan kewangan kerana perlu membayar upah orang membaca al-Quran, sembahyang jenazah dan kenduri arwah.


Budaya ini sebenarnya bertentangan sama sekali dengan roh Islam kerana Rasulullah SAW ketika mendengar berita kematian Jaafar ibn Abi Talib, Baginda bersabda: “Persiapkan makanan untuk keluarga Ja’far, kerana sesungguhnya mereka telah didatangi dengan apa yang menyibukkan mereka (kesusahan)”
Hadith riwayat al-Tirmidhi & Abu Dawud.

Amalan di sesetengah tempat menyediakan makanan untuk orang yang menziarahi keluarga si mati dan menyediakan bayaran tertentu untuk solat jenazah dan membaca al-Quran adalah salah dan perlu ditentang. Amalan ini sudah pasti menyusahkan keluarga si mati yang masih lagi bersedih dengan kehilangan orang tersayang.


Budaya mengadakan kenduri arwah bersempena kematian pada malam pertama, malam Jumaat, malam ketujuh, malam ke-40 dan malam ke-100 juga tidak mempunyai asas sama sekali dalam Islam.


Amalan itu membawa kepada pembaziran jika membabitkan penggunaan harta si mati tanpa jalan yang betul dan membabitkan penganiayaan harta anak yatim. Majlis Fatwa Mesir pada 1947 memutuskan bahawa amalan berkenaan perlu dihentikan.


Ulama mazhab Syafie melarang budaya ini sebagaimana dipetik daripada buku Feqah Mazhab Syafie, Fiqh Manhaji yang berbunyi; “Daripada bidaah yang dibuat keluarga si mati ialah dengan mengumpulkan orang ramai kepada makanan dengan upacara dinamakan berlalunya 40 hari dan seumpamanya. Sekiranya perbelanjaan makanan itu daripada harta peninggalan (si mati) dan di kalangan waris ada yang belum baligh, maka itu adalah dari perkara lebih haram. Ini kerana ia memakan harta benda anak yatim dan melenyapkannya bukan untuk kepentingan anak yatim itu. Terbabit juga dalam melakukan perbuatan haram ini setiap yang memanggil dan yang memakannya” (jil 1/ ms 263, Damsyik: Dar al-Qalam).


Hadis Rasulullah yang bermaksud: “Apabila seorang anak Adam itu meninggal dunia, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan doa anak soleh yang mendoakannya”.– Hadis Riwayat Muslim. Hadith ini menggalakkan ahli keluarga si mati untuk sentiasa mendoakan kesejahteraan arwah sepanjang masa dan bukan hanya pada malam Jumaat atau malam tertentu saja.


Tidak kurang juga kepercayaan sesat sesetengah pihak mengatakan roh si mati akan pulang pada setiap malam Jumaat atau pada hari tertentu untuk mengharapkan sedekah amalan daripada keluarganya. Perlu diketahui persoalan roh adalah antara rahsia Allah yang tidak boleh disandarkan kepada logik akal (al-Isra’:85).


Dipetik dan diringkaskan dari Berita Harian Online 17/03/2007

1 comment:

Abang Long said...

entah sampai bila agaknya masalah ini akan selesai ....