Sunday, August 27, 2006

Menyentuh Kemaluan: batal wudhuk?

Masalah menyentuh kemaluan, para ulama berbeza pandangan samaada ia membatalkan wudhu ataupun tidak, di bawah ini sebahagian petikan kasar dari fatwa al-Qaradhawi.
Terdapat beberapa pandangan dalam masaalah ini :

1- Tidak membatalkan wudhu. Pendapat ini diriwayatkan dari 'Ali, Ibn Mas'ud, 'Ammar, Huzaifah, 'Imran bin Husain dan Abu Darda' dari kalangan sahabat Nabi saw. Ini juga pendapat Rabi'ah, al-Thauri, Ibn Munzir, Abu Hanifah dan sahabatnya dan satu riwayat daripada Ahmad.
Hujah mereka adalah hadith yang diriwayatkan oleh al-Nasa-ie tentang seorang badwi yang bertanya kepada Nabi saw :

Maksudnya : "Wahai Rasulullah ! Apa pandangan kamu tentang seorang lelaki yang menyentuh kemaluannya ? Jawab Nabi saw : "dan bukankah ia itu tidak lain melainkan seketul daging daripada kamu atau sebahagian daripada kamu ?"

Ibn Hajar di dalam Bulugh al-Maram berkata : Hadith ini dikeluarkan oleh al-Khamsah, dan ianya disahihkan oleh Ibn Hibban. al-Son'ani di dalam Subul al-Salam berkata : "Hadith ini diriwayatkan juga oleh Daruqutni, dan al-Tohawi berkata : Sanadnya Mustaqim tanpa Mutdtarib, dan ianya disahihkan juga oleh al-Tabrani dan Ibn Hazm. Mereka berkata : "Kerana ianya (kemaluan) satu anggota dari badan insan, maka dia tidak membatalkan wudhu dengan menyentuhnya, sama seperti menyentuh anggota yang lain."

2- Membatalkan wudhu. Ini yang zahir dari mazhab Ahmad, demikian juga pandangan Ibn Omar, Sa'id bin Musayyib, 'Ato, Urwah, Sulaiman bin Yasar, al-Zuhri, al-Auza'ie, al-Syafi'ie dan masyhur dari Malik.

Hujah mereka ialah hadith yang diriwayatkan dari Busrah binti Sofwan oleh Malik di dalam al-Muwatta', sabda Nabi saw :

Maksudnya : "Sesiapa yang menyentuh kemaluanya, maka hendaklah dia berwudhu."
al-Tirmizi berkata : Hadith ini hasan sahih. Berkata al-Bukhari : Hadith ini أصح شيء في الباب. Hadith ini juga disahihkan oleh Ahmad.

Sesuatu yang penting untuk diketahui [perkataan al-Bukhari (أصح شيء في الباب) asahhu syai' fi al-bab] tidak memaksudkan kesahihan hadith tersebut, bahkan ia membawa maksud itulah sebaik-baik yang ada, walaupun ia tidak sampai ke darjat sahih dengannya semata-mata.

Pendapat Yang Dipilih Oleh al-Qaradhawi

Al-Qaradhawi di bahagian akhir fatwanya berkata :

"Dan yang kami pilih (tarjih) ialah pendapat yang pertama, iaitu tidak batal wudhu dengan menyentuh kemaluan. Jika menyentuhnya dengan syahwat (selama-mana tidak keluar sesuatu) hanya disunatkan wudhu sahaja. Kerana sesungguhnya perkara yang termasuk Umum al-Balwa berlaku kepada semua manusia. (jika menyentuh kemaluan membatalkan wudhu) pasti Nabi saw akan menerangkannya dengan penerangan yang menyeluruh, dinaqalkan dari baginda, diketahui di kalangan umat islam (zaman Nabi saw). Tidak dapat digambarkan bahawasanya hukum sebegini hanya khusus diketahui oleh seorang atau dua orang dari kalangan mereka (sahabat Nabi saw), bukan semuanya..."

"Tidak ada satu hadith yang sahih dalam perkara ini selain hadith Busrah binti Sofwan. Dan yang ajaib, perkara ini yang khusus untuk lelaki dinakalkan dari seoran perempuan. Kalaupun kami berpendapat ia sahih, kami pasti mengatakan : sesungguhnya perkara ini (sentuh kemaluan) padanya mustahab (sunat untuk berwudhu). Ia bertepatan dengan asas yang kami pilih, iaitulah asal dalam arahan-arahan Nabi (selain al-Quran) adalah al-Istihbab (sunat), melainkan setelah tertegaknya qarinah (bukti) yang membawa maksud wajib..."

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah berkata :

"Yang lebih zahir bahawasanya wudhu sesiapa yang menyentuh kemaluan adalah mustahab (sunat) bukan wajib."

"Inilah yang jelas dari salah satu riwayat dari imam Ahmad, ini dengan jalan menghimpunkan hadith-hadith dan athar-athar (yang ada tentang wudhu bagi yang menyentuh kemaluan), dengan memahami arahan (berwudhu bagi orang yang menyentuh kemaluan) itu adalah dalam bentuk sunat. Ia tidak berperanan sebagai pembatal kepada sabda Nabi saw "Bukankah ia (kemaluan) sebahagian daripada kamu". Maka memahami arahan berwudhu sebagai arahan sunat adalah lebih utama dari membatalkannya." tamat petikan fatwa.
Wallahu a'lam

No comments: