Wednesday, August 30, 2006

Lewat Qadha' Puasa: perlukah membayar fidyah?

Jika qadha Ramadhan dilewatkan sehingga masuk Ramadhan yang berikutnya disebabkan keuzuran yang dibenarkan Syara', maka perbuatan ini tidak termasuk di dalam dosa. Maka puasa yang ditinggalkan itu hanya perlu digantikan sahaja sebanyak hari-hari yang ditinggalkan.

Adapun jika qadha puasa Ramadhan dilewatkan DENGAN SENGAJA sehingga masuk Ramadhan yang berikutnya tanpa keuzuran, maka perbuatan ini adalah DOSA. Para ulama bersepakat puasa ramadhan yang ditinggalkan wajib diqadha. Cumanya mereka berbeza pendapat apakah qadha sahaja atau apakah qadha beserta membayar fidyah jika qadha puasa itu dilewatkan sehingga masuknya Ramadhan yang berikutnya.

· Imam Malik, as-Syaf'ie dan Ahmad berpendapat QADHA BESERTA DENGAN MEMBAYAR FIDYAH. Pendapat ini berdasarkan beberapa riwayat daripada Sahabat seperti Abu Hurairah dan Ibn 'Abbas r.'anhum.

· Imam Abu Hanifah pula berpendapat QADHA SAHAJA tanpa Fidyah. Beliau berdalilkan dengan ayat al-Quran bahawasanya ALLAH s.w.t. hanya menyuruh orang-orang yang tidak dapat berpuasa Ramadhan supaya menggantikannya sahaja, dan ALLAH tidak menyuruh supaya disertakan sama membayar fidyah. Ayat tersebut adalah firman ALLAH di dalam surah al-Baqarah ayat 185 : ( وَمَنْ كَانَ مَرِيضاً أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ) البقرة/185 Maksudnya : "Dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir, maka GANTIKANLAH (puasa yang ditinggalkan) pada hari-hari yang lain." (al-Baqarah 185)

Al-Imam al-Bukhari memilih pendapat Abu Hanifah dalam permasalahan ini. Beliau di dalam kitab sohehnya menyebut : "Telah berkata Ibrahim - iaitu Ibrahim an-Nakha'ie - Jika seseorang tidak dapat berpuasa sehingga masuk Ramadhan yang berikutnya maka hendaklah ia menggantikannya, dan beliau (Ibrahim an-Nakha'ie) tidak melihat perlunya membayar fidyah. Diceritakan daripada Abu Hurairah dan Ibn 'Abbas secara Mursal bahawasanya perlu juga mengeluarkan firyah. Kata al-Bukhari : "Akan tetapi ALLAH tidak menyebut supaya membayar fidyah, sesungguhnya ALLAH hanya menyebut ( فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ) maksudnya : "Maka GANTILAH pada hari-hari yang lain."

Kata as-Syeikh Ibn 'Uthaimin r.h. : "Adapun pendapat-pendapat sahabat, sesungguhnya kehujjahannya ada perbincangan. Jika ianya bersalahan dengan zahir al-Quran, seperti di sini, kewajipan memberi makan (fidyah) bersalahan dengan zahir al-Quran, kerana ALLAH ta'ala tidak mewajibkan melainkan menggantikan puasa yang ditinggalkan pada hari-hari yang lain, dan ALLAH tidak mewajibkan lebih daripada itu......... Barangkali apa yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah dan Ibn 'Abbas itu (tentang ganti dan bayar fidyah) mungkin boleh difahami arahan tersebut adalah dalam bentuk Sunat, bukan dalam bentuk Wajib. Maka yang benar dalam masaalah ini adalah hanya perlu gantikan puasa shj, dan berdosa jika melewatkan qadha puasa (dengan sengaja)." (Syarah al-Mumti' 6/451).

Kesimpulan

Berdasarkan dalil-dalil di atas, maka yang perlu dilakukan ialah mengqadhakan puasa yang ditinggalkan, dan bertaubat dari kesalahan jika sengaja melewatkan qadha tersebut. Jika mahu mengeluarkan fidyah bagi setiap hari yang dilewatkannya maka perbuatan itu adalah BAIK.

No comments: