Wednesday, August 30, 2006

Sujud Ketika Membaca Ayat Sajadah

Sabda Nabi saw : "Apabila seseorang anak Adam membaca ayat Sajadah, lalu dia sujud, maka Syaitan menjauhinya dan menangis, dan dia (Syaitan) berkata : Alangkah binasanya aku, disuruh kepada anak Adam untuk sujud, lalu dia sujud, maka bagi dia syurga, dan disuruh aku sujud, lalu aku engkar, maka bagi aku neraka." (Hadith riwayat Muslim)

Cara Menguap

Abu Hurairah meriwayatkan dari Nabi saw, baginda bersabda :

فإذا تثاءب أحدكم فليرده ما استطاع ولا يقل هاه هاه فإنما ذلكم من الشيطان يضحك منه

Maksudnya : "Jika seseorang kamu menguap, maka dia kawal (berusaha tidak menzahirkannya) setakat yang dia termampu, dan jangan dia kata Haa Haa, kerana sesungguhnya demikian itu dari perbuatan syaitan, dia ketawa kerananya."
(Sahih Abi Daud oleh al-Albani dan dikeluarkan juga oleh al-Bukhari)

Bolehkah Makan Dengan Tangan Kiri?

Daripada Ibn Umar bahawasanya Nabi saw bersabda :

"Apabila seseorang kamu makan, maka hendaklah dia makan dengan tangan kanannya, apabila dia minum, maka hendaklah dia minum dengan tangan kanannya, kerana sesungguhnya Syaitan makan dengan tangan kirinya dan minum dengan tangan kirinya."
(Dianggap sahih oleh al-Albani di dalam Sahih Abi Daud, dan hadith ini dikeluarkan juga oleh Muslim)

Hukum Mewarnakan Rambut

Sebahagian ulama melihat adanya 'Illah dalam larangan mewarnakan rambut dengan warna hitam, Sebahagian mereka mengatakan 'Illah larangan tersebut ialah kerana adanya unsur penipuan, seperti seorang tua yang mewarnakan rambutnya supaya orang ramai menganggapnya masih muda. Bagi orang muda yang tidak ada unsur penipuan jika dia mewarnakan rambutnya, mereka berpendapat perbuatan ini tidak mengapa.

Namun begitu 'Illah ini tidak dinyatakan oleh Nabi s.a.w. sendiri, ianya adalah ijtihad sebahagian para ulama. Bagi sesiapa yang berasakan pendapat ini adalah kuat dan lebih benar, insyaallah ia boleh mengamalkannya. Namun bagi sesiapa yang merasakan lebih selesa untuk dia mengambil jalan berhati-hati dan meraikan lafaz Nabi s.a.w. di dalam hadith baginda maka eloklah ia menjauhinya. Maksudnya : "Ubahlah (warnakanlah) rambut putih ini, dan jauhilah ia dari warna hitam." (Riwayat Muslim)

Wallahu a'lam.

Lewat Qadha' Puasa: perlukah membayar fidyah?

Jika qadha Ramadhan dilewatkan sehingga masuk Ramadhan yang berikutnya disebabkan keuzuran yang dibenarkan Syara', maka perbuatan ini tidak termasuk di dalam dosa. Maka puasa yang ditinggalkan itu hanya perlu digantikan sahaja sebanyak hari-hari yang ditinggalkan.

Adapun jika qadha puasa Ramadhan dilewatkan DENGAN SENGAJA sehingga masuk Ramadhan yang berikutnya tanpa keuzuran, maka perbuatan ini adalah DOSA. Para ulama bersepakat puasa ramadhan yang ditinggalkan wajib diqadha. Cumanya mereka berbeza pendapat apakah qadha sahaja atau apakah qadha beserta membayar fidyah jika qadha puasa itu dilewatkan sehingga masuknya Ramadhan yang berikutnya.

· Imam Malik, as-Syaf'ie dan Ahmad berpendapat QADHA BESERTA DENGAN MEMBAYAR FIDYAH. Pendapat ini berdasarkan beberapa riwayat daripada Sahabat seperti Abu Hurairah dan Ibn 'Abbas r.'anhum.

· Imam Abu Hanifah pula berpendapat QADHA SAHAJA tanpa Fidyah. Beliau berdalilkan dengan ayat al-Quran bahawasanya ALLAH s.w.t. hanya menyuruh orang-orang yang tidak dapat berpuasa Ramadhan supaya menggantikannya sahaja, dan ALLAH tidak menyuruh supaya disertakan sama membayar fidyah. Ayat tersebut adalah firman ALLAH di dalam surah al-Baqarah ayat 185 : ( وَمَنْ كَانَ مَرِيضاً أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ) البقرة/185 Maksudnya : "Dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir, maka GANTIKANLAH (puasa yang ditinggalkan) pada hari-hari yang lain." (al-Baqarah 185)

Al-Imam al-Bukhari memilih pendapat Abu Hanifah dalam permasalahan ini. Beliau di dalam kitab sohehnya menyebut : "Telah berkata Ibrahim - iaitu Ibrahim an-Nakha'ie - Jika seseorang tidak dapat berpuasa sehingga masuk Ramadhan yang berikutnya maka hendaklah ia menggantikannya, dan beliau (Ibrahim an-Nakha'ie) tidak melihat perlunya membayar fidyah. Diceritakan daripada Abu Hurairah dan Ibn 'Abbas secara Mursal bahawasanya perlu juga mengeluarkan firyah. Kata al-Bukhari : "Akan tetapi ALLAH tidak menyebut supaya membayar fidyah, sesungguhnya ALLAH hanya menyebut ( فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ) maksudnya : "Maka GANTILAH pada hari-hari yang lain."

Kata as-Syeikh Ibn 'Uthaimin r.h. : "Adapun pendapat-pendapat sahabat, sesungguhnya kehujjahannya ada perbincangan. Jika ianya bersalahan dengan zahir al-Quran, seperti di sini, kewajipan memberi makan (fidyah) bersalahan dengan zahir al-Quran, kerana ALLAH ta'ala tidak mewajibkan melainkan menggantikan puasa yang ditinggalkan pada hari-hari yang lain, dan ALLAH tidak mewajibkan lebih daripada itu......... Barangkali apa yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah dan Ibn 'Abbas itu (tentang ganti dan bayar fidyah) mungkin boleh difahami arahan tersebut adalah dalam bentuk Sunat, bukan dalam bentuk Wajib. Maka yang benar dalam masaalah ini adalah hanya perlu gantikan puasa shj, dan berdosa jika melewatkan qadha puasa (dengan sengaja)." (Syarah al-Mumti' 6/451).

Kesimpulan

Berdasarkan dalil-dalil di atas, maka yang perlu dilakukan ialah mengqadhakan puasa yang ditinggalkan, dan bertaubat dari kesalahan jika sengaja melewatkan qadha tersebut. Jika mahu mengeluarkan fidyah bagi setiap hari yang dilewatkannya maka perbuatan itu adalah BAIK.

Bolehkah Menonton Wayang?

Menonton panggung wayang adalah haram kerana beberapa sebab, antaranya:

1- Adanya promosi iklan-iklan arak sebelum bermulanya satu-satu tayangan filem. Mustahil seorang muslim boleh bersekongkol sama menonton iklan tersebut yang mengandungi unsur-unsur ghairah, walaupun ia hanya ditayang seketika sahaja.

2- Berlakunya percampuran antara lelaki dengan wanita tanpa kawalan, bahkan dalam suasana yang gelap, lebih parah kita adalah sebahagian daripada mereka.

3- Suasana panggung wayang itu sendiri tidak menepati kehendak syarak, atas sebab-sebab di atas. Mustahil seorang muslim yang berpegang kuat dengan agamanya rela bersama dalam suasana yang sebegini.

Alhamdulillah, kita juga bersetuju dengan pendapat yang mengatakan asal menonton wayang itu adalah harus atas kaedah "Asal setiap sesuatu adalah harus". Namun asas dalam keharusan sesuatu perkara itu hendaklah ianya berjalan menepati kehendak syarak. Kalau suasana panggung wayang itu sendiri mengandungi perkara-perkara yang haram, maka tak kira sama ada kita pergi tonton dengan adik ataupun dengan sesiapa, ianya adalah perbuatan bersekongkol dengan ahli maksiat.

Sunday, August 27, 2006

Menyentuh Kemaluan: batal wudhuk?

Masalah menyentuh kemaluan, para ulama berbeza pandangan samaada ia membatalkan wudhu ataupun tidak, di bawah ini sebahagian petikan kasar dari fatwa al-Qaradhawi.
Terdapat beberapa pandangan dalam masaalah ini :

1- Tidak membatalkan wudhu. Pendapat ini diriwayatkan dari 'Ali, Ibn Mas'ud, 'Ammar, Huzaifah, 'Imran bin Husain dan Abu Darda' dari kalangan sahabat Nabi saw. Ini juga pendapat Rabi'ah, al-Thauri, Ibn Munzir, Abu Hanifah dan sahabatnya dan satu riwayat daripada Ahmad.
Hujah mereka adalah hadith yang diriwayatkan oleh al-Nasa-ie tentang seorang badwi yang bertanya kepada Nabi saw :

Maksudnya : "Wahai Rasulullah ! Apa pandangan kamu tentang seorang lelaki yang menyentuh kemaluannya ? Jawab Nabi saw : "dan bukankah ia itu tidak lain melainkan seketul daging daripada kamu atau sebahagian daripada kamu ?"

Ibn Hajar di dalam Bulugh al-Maram berkata : Hadith ini dikeluarkan oleh al-Khamsah, dan ianya disahihkan oleh Ibn Hibban. al-Son'ani di dalam Subul al-Salam berkata : "Hadith ini diriwayatkan juga oleh Daruqutni, dan al-Tohawi berkata : Sanadnya Mustaqim tanpa Mutdtarib, dan ianya disahihkan juga oleh al-Tabrani dan Ibn Hazm. Mereka berkata : "Kerana ianya (kemaluan) satu anggota dari badan insan, maka dia tidak membatalkan wudhu dengan menyentuhnya, sama seperti menyentuh anggota yang lain."

2- Membatalkan wudhu. Ini yang zahir dari mazhab Ahmad, demikian juga pandangan Ibn Omar, Sa'id bin Musayyib, 'Ato, Urwah, Sulaiman bin Yasar, al-Zuhri, al-Auza'ie, al-Syafi'ie dan masyhur dari Malik.

Hujah mereka ialah hadith yang diriwayatkan dari Busrah binti Sofwan oleh Malik di dalam al-Muwatta', sabda Nabi saw :

Maksudnya : "Sesiapa yang menyentuh kemaluanya, maka hendaklah dia berwudhu."
al-Tirmizi berkata : Hadith ini hasan sahih. Berkata al-Bukhari : Hadith ini أصح شيء في الباب. Hadith ini juga disahihkan oleh Ahmad.

Sesuatu yang penting untuk diketahui [perkataan al-Bukhari (أصح شيء في الباب) asahhu syai' fi al-bab] tidak memaksudkan kesahihan hadith tersebut, bahkan ia membawa maksud itulah sebaik-baik yang ada, walaupun ia tidak sampai ke darjat sahih dengannya semata-mata.

Pendapat Yang Dipilih Oleh al-Qaradhawi

Al-Qaradhawi di bahagian akhir fatwanya berkata :

"Dan yang kami pilih (tarjih) ialah pendapat yang pertama, iaitu tidak batal wudhu dengan menyentuh kemaluan. Jika menyentuhnya dengan syahwat (selama-mana tidak keluar sesuatu) hanya disunatkan wudhu sahaja. Kerana sesungguhnya perkara yang termasuk Umum al-Balwa berlaku kepada semua manusia. (jika menyentuh kemaluan membatalkan wudhu) pasti Nabi saw akan menerangkannya dengan penerangan yang menyeluruh, dinaqalkan dari baginda, diketahui di kalangan umat islam (zaman Nabi saw). Tidak dapat digambarkan bahawasanya hukum sebegini hanya khusus diketahui oleh seorang atau dua orang dari kalangan mereka (sahabat Nabi saw), bukan semuanya..."

"Tidak ada satu hadith yang sahih dalam perkara ini selain hadith Busrah binti Sofwan. Dan yang ajaib, perkara ini yang khusus untuk lelaki dinakalkan dari seoran perempuan. Kalaupun kami berpendapat ia sahih, kami pasti mengatakan : sesungguhnya perkara ini (sentuh kemaluan) padanya mustahab (sunat untuk berwudhu). Ia bertepatan dengan asas yang kami pilih, iaitulah asal dalam arahan-arahan Nabi (selain al-Quran) adalah al-Istihbab (sunat), melainkan setelah tertegaknya qarinah (bukti) yang membawa maksud wajib..."

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah berkata :

"Yang lebih zahir bahawasanya wudhu sesiapa yang menyentuh kemaluan adalah mustahab (sunat) bukan wajib."

"Inilah yang jelas dari salah satu riwayat dari imam Ahmad, ini dengan jalan menghimpunkan hadith-hadith dan athar-athar (yang ada tentang wudhu bagi yang menyentuh kemaluan), dengan memahami arahan (berwudhu bagi orang yang menyentuh kemaluan) itu adalah dalam bentuk sunat. Ia tidak berperanan sebagai pembatal kepada sabda Nabi saw "Bukankah ia (kemaluan) sebahagian daripada kamu". Maka memahami arahan berwudhu sebagai arahan sunat adalah lebih utama dari membatalkannya." tamat petikan fatwa.
Wallahu a'lam

Kongsi Raya

Jika kita himpunkan kesemua perkataan para ulama, kita akan dapati bahawasanya semua mereka mengharamkan menyambut perayaan bukan Islam termasuklah mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan Hambali, bahkan mazhab al-Zohiri juga.

Al-Lajnah al-Da-imah lil Buhuth al-'Ilmiah wa al-Ifta' ketika ditanya tentang hukum bersama menyambut perayaan bukan Islam menyebut :

"Tidak boleh bagi seorang muslim untuk dia bersama orang-orang kuffar dalam (menyambut) perayaan-perayaan mereka, dan untuk menzahirkan keseronokan dan kegembiraan dalam perayaan mereka, (demikian juga tidak boleh) untuk dia bercuti dari bekerja (untuk menyambut perayaan tersebut) samaada perayaan itu perayaan keduniaan ataupun keagamaan, kerana ini termasuk dalam bertasyabbuh (menyerupai) musuh-musuh Allah yang diharamkan dan termasuk dalam tolong menolong dengan mereka dalam perkara yang batil. Telah thabit dari Nabi saw, sabda baginda : "Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia termasuk salah seorang dari mereka." Allah swt pula berfirman : "Dan tolong menolonglah kamu dalam perkara yang baik dan takwa, dan jangan kamu tolong menolong dalam perkara dosa dan permusuhan. Dan bertakwalah kamu kepada Allah seseungguhnya Allah amat keras seksaannya."(al-Maidah : 2)" – Fatwa bil. 2540.

Al-Syeikh Muhammad Bin Soleh al-Munajjid, di dalam fatwanya, apabila ditanya tentang hukum mengucapkan tahniah kepada perayaan kafir beliau menyebut :

"Mengucapkan selamat kepada orang kafir pada hari Krismas atau selainnya dari perayaan keagamaan adalah haram dengan kesepakatan para ulama, sepertimana yang dinakalkan oleh Ibn Qayyim di dalam kitabnya Ahkam Ahl al-Zimmah ketika beliau berkata : "Adapun ucap tahniah/selamat kepada syiar-syiar kuffar secara khusus adalah haram dengan kesepakatan para ulama, seperti mengucapkan selamat kepada perayaan atau puasa mereka dengan mengatakan : "Selamat hari raya kepada kamu" atau "Semoga bergembira dengan perayaan ini" atau seumpamanya. Perkara ini jika selamatpun pengucapnya dari kekufuran, ia tetap termasuk dari perkara-perkara yang haram, ia sama seperti mengucapkan selamat kepada seseorang yang sujud kepada salib, bahkan perbuatan ini adalah lebih besar dosanya di sisi Allah dan lebih besar kemurkaan berbanding mengucapkan tahniah kepada seseorang yang meminum khamar (bir), seorang yang membunuh dan yang berzina dan seumpamanya. Kebanyakan orang yang tidak ada kesedaran agama terjebak dalam perkara ini. Dia tidak sedar betapa buruk amal perbuatannya. Maka sesiapa yang mengucapkan tahniah atau selamat kepada seseorang yang melakukan maksiat, bid'ah atau kekufuran. Maka sesungguhnya dia telah membuka ruang kepada dirinya untuk mendapat kemurkaan dari Allah."

Dr. Yusuf al-Qaradhawi yang lebih ringan dalam masaalah ini, yang mana beliau berpendapat boleh seseorang Muslim menyampaikan tahniah kepada perayaan Ahli Kitab tetapi tetap melarang untuk menyambut sekali perayaan bukan Islam. Beliau menyebut :

"Ini adalah daripada hak-hak bersama, jika seseorang ahli kitab datang dan menyampaikan tahniah dengan perayaan kamu (muslim) dan bersama dalam kesedihan dan musibah yang menimpa kamu dan mengucapkan takziah kepada kamu. Maka apakah pula larangan untuk kamu mengucapkan tahniah dengan perayaan mereka dalam kegembiraan mereka dan mengucapkan takziah dalam musibah yang menimpa mereka ? Allah swt berfirman (maksudnya) : "Apabila kamu dihormati dengan satu penghormatan, maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik, atau balaslah dengan yang serupa." (al-Nisa :86) Beliau menyambung dengan mengatakan : "Ini tidak bermakna kita menyambut perayaan itu bersama mereka, adapun ianya hanyalah ucap tahniah semata-mata, ini termasuk dalam berbuat baik dan adil yang datang bersama agama ini (Islam)"

Kesimpulan

Kesemua mereka melarang keras menyambut perayaan bukan Islam. Mustahil perayaan Islam yang dibina atas dasar mentauhidkan Allah, bersih dari kesyirikan dan kebatilan boleh dikongsi dengan perayaan agama lain, dimana kesyirikan dan kebatilan dinyatakan pada hari tersebut.

Hari raya adalah hari untuk menzahirkan kepercayaan-kepercayaan agama. Apakah mungkin umat Islam yang memiliki aqidah mentauhidkan Allah dapat menyambut perayaan lain yang penuh dengan kesyirikan dan kebatilan? Kongsi raya membawa maksud reda dan setuju kepada kepercayaan-kepercayan yang ada dalam sesuatu perayaan tersebut. Apakah masuk akal, seseorang Muslim yang mentauhidkan Allah mengucapkah tahniah kepada seorang Budha, Hindu atau Kristian yang sedang menyembah tuhan mereka? Sesungguhnya Kongsi Raya tidak mendatangkan kebaikan kepada umat Islam melainkan ia menghakis keimanan dan jati diri umat Melayu Muslim. Wallahua’lam.

Menyentuh Perempuan: batal wudhuk?

Insyaallah pendapat yang lebih kuat adalah pendapat Mazhab Hanafi yang mengatakan tidak batal wudhu dengan menyentuh atau mencium isteri samaada dengan syahwat ataupun tidak, selagi mana tidak keluar sesuatu dari kemaluannya.

Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan dari Habin bin Abi Thabit dari 'Urwah dari 'A-isyah r'anha katanya (maksudnya): "Bahawasanya Nabi saw pernah mencium sebahagian dari isteri-isterinya kemudian baginda pergi menunaikan solat dan baginda tidak memperbaharui wudhu baginda." Urwah berkata : Aku bertanya (kepada 'A-isyah): "Siapakah dia (isteri yang baginda saw cium itu) ? melainkan kamu" Kemudia kata 'Urwah : "Lalu 'A-isyah senyum." (Al-Albani mensahihkan hadith ini di dalam Sahih Ibn Majah dan Sahih al-Tirmizi).

Makan Sambil Berjalan & Minum Berdiri

Harus makan dalam keadaan berdiri jika ada keperluan dan hajat untuk melakukannya. Jika tidak ianya dihukumkan dengan makruh Imam at-Tirmizi meriwayatkan dari Ibn Omar r.'anhuma katanya (maksudnya) :

"Kami makan di zaman Nabi saw, dan kami (pernah) makan dalam keadaan berjalan, dan (pernah) kami minum dalam keadaan berdiri." (al-Albani mensahihkan hadith ini di dalam Sahih at-Tirmizi)

Penulis kitab Tuhfah al-Ahwazi menyebut : "Padanya (hadith di atas) bukti keharusan makan dalam keadaan berjalan.

Imam Ahmad pula meriwayatkan bahawasanya Ali bin Abi tolib minum berdiri, lalu ramai manusia melihat kepadanya, seolah-olah mengingkari perbuatannya. Lalu beliau berkata :

"Apa yang kamu semua lihatkan ? Sesungguhnya aku minum berdiri, kerana aku telah melihat Nabi saw minum berdiri. Dan aku juga minum dalam keadaan duduk, kerana aku juga telah melihat nabi saw minum dengan duduk." (Berkata Ahmad Syakir di dalam Tahkik al-Musnad : "Isnadnya soheh")

Seperti yang telah dinyatakan di atas, makan dan minum dengan berdiri adalah makruh hukumnya, dan makan dengan duduk adalah sunat. Tidaklah menjadi satu kesalahan apabila kita tidak duduk ketika makan di tempat yang tidak mengizinkan kita untuk duduk. Pilihlah cara makan yang sesuai, perkara ini adalah luas. Wallahu a'lam.

Sunnah Memakai Serban

Kenyataan Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dalam isu serban tiga pelajar

"Kenyataan Hakim Mahkamah dalam isu serban tiga bekas pelajar berkenaan adalah bertepatan dengan ruh Islam. Ini menunjukkan hakim berkenaan memahami Islam dan sunnah Nabi dalam topik berkenaan secara ilmiah. Cumanya, alangkah baiknya jika dia tidak mengaitkan dengan janggut. Ini kerana bagi janggut itu ada hadith khusus untuknya. Adapun serban bukan tuntutan agama. Tidak wajar mengorbankan masa depan para pelajar tersebut dalam isu yang remeh dan tidak disuruh oleh Islam. Bapa para pelajar berkenaan telah memahami dan mempraktikkan Islam secara salah. Dia tidak memahami keutamaan agama. Jika hakim sifatkannya 'angkuh', ia mungkin benar. Islam pada akidah, ibadah dan sistem hidup yang bertunjangkan akidah. Serban adalah budaya Arab yang dipraktik oleh Nabi s.a.w bersesuaian dengan kearaban baginda. Dinamakan dengan 'al-sunnah al-jibiliyyah'. Seperti mana baginda suka memakan labu, bahagian bahu kambing dan seumpamanya. Maka seseorang tidak wajar berbalah ke mahkamah untuk mempertahankan sunnah makan kambing di sebuah tempat yang tidak mengizinkan daging tersebut dimakan di situ. Ini adalah lambang kedangkalan. Namun jika tempat tersebut menghalang pengamalan wajib Islam, maka patut ditentang. Jika sekolah menyuruh membuka aurat, kita akan tentang. Tiga pelajar ini terinaya dalam kesilapan kefahaman mereka. Islam seperti ini patut dibaiki" - Dr. Mohd Asri Zainul Abidin -

Dalam penghakiman, yang dibacakan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan Kamaruddin Kamsun, Abdul Hamid berkata, daripada apa yang dapat dipastikannya, al-Quran tidak menyebut mengenai pemakaian serban.

“Saya tahu Rasulullah memakai serban. Tetapi Baginda juga menunggang unta, membina rumahnya dan masjid daripada tanah liat dan berbumbungkan daun kurma dan menggosok gigi menggunakan sugi...."

“Adakah itu bermakna menunggang unta itu satu amalan lebih alim daripada bergerak menaiki kapal terbang? Wajarkah dipilih bahan dan cara serupa yang digunakan oleh Rasulullah untuk membina rumah dan masjid seperti di zaman Baginda?” katanya.

Tiada Doa Selepas Iqamah

Dr. Ahmad bin Muhammad al-Khalil salah seorang anggota tadris jami'ah al-Qasim menyebut: "Doa selepas Iqamah tidak ada asal baginya dan tidak aku ketahui adanya dari sunnah apa yang menunjukkan atas pensyariatannya."
Wallahu a'lam.

Bergerak Lebih 3 Kali Semasa Solat

Menghadkan 3 kali pergerakan itu tidak ada di dalam dalil, ianya sekadar pandangan para ulama. Kita menghormati dan memuliakan para Ulama. Namun sesuatu yang diketahui umum, bahawa pandangan sesiapa sahaja, selain Nabi s.a.w. kadangkala benar kadangkala tidak. Maka memuliakan kalam Nabi itu mesti didahulukan dari kalam sesiapa sahaja. Inilah sikap yang sewajarnya bagi setiap umat Islam. Dalam masa yang sama ada ramai juga ulama lain yang tidak menghadkannya kepada 3 kali pergerakan.

Wallahu a'lam, insyaallah pandangan ulama yang tidak menghadkan itu lebih kuat kerana ada dalil yang menyokongnya. Seperti perbuatan Nabi s.a.w. yang mendukung dan meletakkan Umamah anak kepada Zainab iaitu cucu baginda s.a.w. di dalam solat. Demikian juga arahan menghalang orang yang lalu di depan solat, jika dia membantah kita dibenarkan menolak dan mencegahnya. Membunuh serangga yang berbisa ketika solat dan lain-lain. Semua ini menunjukkan kebenaran untuk bergerak lebih dari 3 kali pergerakan jika ada keperluan.

Al-Syeikh Abdul Aziz Abdullah bin Baz menyebut menghadkan gerakan di dalam solat hanya dengan 3 gerakan adalah pendapat sebahagian ulama tidak ada padanya dalil dari Nabi s.a.w.

Qunut Subuh: dibaca atau tidak?

Hadis-hadis yang ada menunjukkan nabi saw tidak berterusan berqunut. Pendapat Iman Syafie ra dalam dua hal iaitu bab qunut dan menjaharkan Basmalah adalah tidak kuat tetapi ini tidak mengurangkan sedikit pun mertabat beliau sebagai tokoh ulama yang kita sanjungi. Inilah ketandaan, mereka juga tidak dapat lari dari sedikit sebanyak kesalahan sebagai insan. Tiada yang maksum melainkan Nabi. Begitu juga sedikit sebanyak kecacatan di dalam Sahih Bukhari bagi menandakan ianya bukan Al-Quran. Kembalilah kepada Al-Quran dan Sunnah sebagaimana yang sering dikumandangkan oleh setiap orang. Dalam masa yang sama kita tetap merujuk kepada ulama-ulama besar tanpa taksub kepada mereka.

Qunut subuh adalah perkara Khilafiah. Ianya berlegar antara yang mana harus dan yang mana lebih afdhal. Ia adalah perkara Ijtihadiah. Orang yang melakukan qunut dalam solat subuh, sembahyangnya sah, dan orang yang tidak qunut dalam solat subuh, sembahyangnya juga sah. Yang melakukan qunut itu Sunnah dan yang meninggalkannya juga adalah sunnah.

Permasalahan doa qunut subuh ini sudah dibahaskan oleh kebanyakna ulama hadith dan feqah.. kesimpulannya, buat pun sunnah tapi meninggalkannya lebih lagi dekat kepada sunnah.. Tapi yang menjadi bidaahnya ialah apabila menganggap ianya wajib dibaca setiap solat subuh.

Baginda Rasullullah S.A.W apabila beliau hendak berdoa membinasakan seseorang atau berdoa untuk kebaikan seseorang maka beliau akan berqunut di rakaat akhir sembahyang, tidak semestinya ketika solat subuh sahaja. Apabila telah hilang bahaya atau sebab diadakan qunut nazilah itu, maka didapati baginda akan meninggalkannya, bermakna tidak dilakukan secara berterusan.

Pendapat Imam syafi'i bahawa basmalah sentiasa dijaharkan dalam solat jahar adalah tidak kuat.
Imam Ibn Qayyim telah menghimpunkan hadis jahar dan sirr basmalah dan membuat kesimpulan bahawa Rasulullah selalunya mensirrkan basmalah dan kekadang menjaharkannya(rujuk fiqh Sunnah jil.1).

Selain itu, ada juga hadis yg menyebut mengenai melakukan qunut subuh secara terus-menerus:
Dari Sa’ad bin Abi Thariq Al Asja’i Radhiyallahuanhu, dia berkata, ‘Saya bertanya pada ayahku, “Wahai Ayah, sesungguhnya engkau telah shalat di belakang Rasulullah Shallallahu alaihi Wasallam, Abu Bakar, Usman, dan Ali, apakah mereka melakukan qunut di shalat shubuh?” Ayahnya berkata, “Wahai anakku, itu perkara yang diada-adakan. (Shahih Sunan Tirmidzi 330).

Saturday, August 26, 2006

Introduction* + Kewajiban Ber Ittiba’

Di dalam Al Qur’an Allah swt berfirman: “Katakanlah: ‘Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu.’ Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”. (Ali-Imran: 31)

As Sa’dy dalam tafsirnya mengatakan: “Ayat ini merupakan tolok ukur cinta seseorang kepada Allah dengan sebenar-benarnya cinta atau hanya pura-pura mengaku cinta. Tanda cinta kepada Allah adalah ittiba’ (mengikuti) Rasulullah yang Allah telah menjadikan sikap ini (ittiba’) dan segala apa yang diserukan sebagai jalan untuk mendapatkan cinta dan ridha Allah . Dan tidak akan didapati kecintaan dari Allah ridha dan pahala-Nya, melainkan dengan cara membenarkan apa yang dibawa Rasulullah sebagaimana yang ada dalam Al Qur’an dan As Sunnah, dengan cara melaksanakan apa yang dikandung keduanya, dan menjauhi apa yang dilarangnya.

Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wassalam bersabda (maksudnya): "Apa yang aku larang, tinggalkanlah. Dan apa yang aku perintahkan, kerjakanlah semampu kalian. Karena sesungguhnya kebinasaan orang-orang sebelum kalian adalah karena banyaknya perselisihan dan pertentangan mereka terhadap para nabinya". (HR. Bukhari Muslim)

Imam Malik Bin Anas Berkata:"Tidak ada seorang pun setelah Nabi Shallallahu 'Alaihi Wa Sallam, kecuali dari perkataannya itu ada yang diambil dan yang ditinggalkan, kecuali Nabi Salallhu 'Alaihi Wasallam". (Ibnu Abdil Hadi di dalam Irsyadus Salik, 1/227)

Abu Uthman berkata:"Demikianlah seharusnya seseorang dalam mengagungkan hadith-hadith Nabi, menerimanya dengan sepenuh penerimaan, kepasrahan dan mengimaninya. Membantah orang yang menempuh jalan selain ini, sebagaimana yang dilakukan oleh Harun Ar-Rasyid rahimahullah terhadap orang yang dengan beraninya membantah hadith dengan mengatakan:"Bagaimana mungkin?" yang tujuannya adalah membantah dan mengingkarinya. Padahal seharusnya ia menerima semua yang diberitakan oleh Nabi.

Manhaj salaf adalah manhaj yang benar. Manhaj inilah yang mendapatkan pujian kebaikan dari lisan Rasulullah berikut dengan orang-orang yang berjalan di atasnya, sebagaimana sabda beliau: “Sebaik-baik manusia adalah generasiku, kemudian orang-orang setelah mereka, dan kemudian orang-orang setelah mereka.” (Shahih, HR. Bukhari dan Muslim dari shahabat Imran bin Husein dan Abdullah bin Mas’ud)

Maka, para pengikut manhaj ini adalah generasi terbaik yang diridhai oleh Allah swt.


Introduction

Bismillahirrahmanirrahim…

Assalamu'alaikum wbt...

Pertama skali, sebab utama blog ini dibina tdk lain hanyalah semata2 utk mencari pahala sampingan selain drp amalan2 wajib yg byk kekurangan. InsyaAllah blog ini boleh dijadikan antara salah satu cara dakwah dlm menyampaikan mesej islam dan lain2 info yg bermanfaat.

Motif utama blog ini adalah utk mengajak kita semua supaya melakukan setiap amalan dan perbuatan berdasarkan dalil2 atau hujah2 yg kuat sama ada drp Quran, hadis atau pun pendapat ulama. Saya menyeru kpd kita semua supaya meninggalkan apa yg tdk pasti kpd apa yg pasti dan mempunyai dalil. Kita tdk mahu lagi sekadar mengikut scr membuta tuli dan sedang kita langsung tak tahu adakah amalan kita ni sama dgn amalan nabi saw.

Saya memudahkan blog ini, meringkaskan perbincangan dan membuat kesimpulan sy yg sendiri kerana sasaran utama sy ialah golongan awam. Saya tdk mahu blog ini menjadi “al-ahkam” yang baru atau menjadi spt web2 agama lain yang membincangkan scr panjang lebar. Mungkin panjang perbahasan ttg sesuatu isu menjadikan org tdk berminat utk membacanya. Itulah antara sebab sy meringkaskan blog ini.

Ada bahagian yg sy ambil satu pandangan shj drp banyak pandangan ulama dan ada yg sy tuliskan lbh drp satu pandangan, kemudian sy bandingkan mana hujah yg lbh kuat. Apb sy menyatakan satu pandangan shj..tdklah bermakna tdk ada pandangan lain ttg perkara tersebut. Mungkin saja ada, tetapi sy hanya mengambil pendapat yg sy rasakan lbh kuat berdasarkan penelitian sy utk memudahkan org membaca blog ini. Bagi sesiapa yg merasakan hujah2 ringkas yg sy nyatakan tdk kuat atau masih ragu2, maka bolehlah mereka merujuk sendiri kpd org alim (org yg berilmu) atau merujuk kpd laman2 web yg mengemukakan hujah2 dan perbahasan yg panjang lebar. Apabila sy mengemukakan beberapa pandangan berlainan drp ulama dan tdk membuat kesimpulan ttg mana satu hujah yg lbh kuat..maka terpulang kpd pembaca utk berpegang kpd hujah yg dia rs lbh kuat.

InsyaAllah, kita akan rasa lbh khusyuk dgn amalan kita apabila kita tahu ianya sama dgn apa yg nabi amalkan wlaupun dlm beberapa hal ia kelihatan bercanggah dgn amalan masyarakat.

Bagi perkara2 yg dirasakan baru atau bercanggah dgn amalan masyarakat biasa, maka diharap agar kita boleh berbeza pendapat dan berlapang dada dgn pegangan masing2 asal saja kita beramal atas dalil2 dan hujah2 yg kita yakin lbh dekat dgn makna hadis dan alQuran.

Saya amat menggalakkan sesiapa shj utk memberi komen dan kritikan scr baik. Jika terbukti ada mana2 yg sy nyatakan itu salah, maka sy sedia memperbetulkannya semula.

Wassalam…