Saturday, March 22, 2008

Berakidah Mengikut Acuan Rasul

Saya pasti kebanyakan kita cinta dan kasih kepada nabi Muhammad saw. Malah cinta dan kasih itu makin bertambah pada masa-masa menyambut dan memperingati hari kelahiran baginda. Seperti kata Muhammad Qutub: “Aku percaya Muhammad itu satu zat yang dicintai oleh kebanyakan orang, tetapi kekurangan kita ialah pada sudut mengikut rasul”. Saya tidak ingin menyentuh tentang perkara cinta dan kasih, kerana memang kita semua sedar tentang hakikat itu. Saya juga sudah menyentuh pada post Sikap Terhadap Rasul tentang kepentingan mengikut rasul dan menjadikannya sebagai contoh tauladan dalam kehidupan. Diharap agar semua jelas bahawa kecintaan kepada rasul itu bukan terletak pada sambutan maulid semata, tetapi pada pengamalan sunnah dan ajaran2 baginda dalam kehidupan seharian.

Kali ini saya terdorong untuk menulis tentang sesuatu pada sudut yang lain pula; iaitu bagaimana sikap mencintai dan mencontohi rasul itu menjadikan akidah kita bersih daripada unsur syirik dan penyelewengan dalam beragama.

(1) .....
Pertama sekali kita hendaklah sedar bahawa ketaatan kepada rasul saw berada pada tingkatan yang terpenting selepas ketaatan kepada Allah. Maka haram untuk kita melebihkan atau mengagungkan kata2 atau perbuatan orang lain melebihi apa yang nabi tunjukkan melalui sunnahnya. Dan hal ini hanya mampu dilakukan jika kejap menjadi iqtikad kita bahawa nabi saw adalah sebaik2 contoh dan ikutan. Pernah suatu masa ada seorang lelaki yang datang bertemu Umar al-Khatab untuk bertanyakan fatwa. Setelah Umar menjawab soalan yang ditanya, lelaki tersebut berkata: “Aku pernah bertanya nabi saw soalan yang sama, tapi baginda memberi jawapan yg lain”. Umar lantas bangkit dan memukul lelaki tersebut kerana marah apabila lelaki tersebut masih lagi mencari jawapan lain selain daripada jawapan rasul. Ini menunjukkan tiada lagi perkataan lain yang diterima selepas perkataan nabi saw. Perkataan baginda lah yang paling benar dan tidak boleh diragui kesahihannya.

Inilah masalah yang dihadapi oleh kebanyakan org pada hari ni. Mereka tidak dapat merasakan ketinggian dan kemuliaan ucapan dan sunnah rasul saw. Maka ucapan nabi hanya menjadi setaraf dengan ucapan orang kebanyakan. Sunnah nabi tidak dipedulikan, jauh sekali untuk mengamalkannya.

Malah Umar sendiri pernah suatu ketika semasa Hudaibiyah, dimana nabi dan para sahabat berpakaian ihram menuju ke Mekah. Kesemua mereka membawa pedang yang bersarung sebagai isyarat tidak ingin berperang. Tetapi musyrikin menghalang mereka memasuki Mekah. Maka nabi saw dan para sahabat pun bertahalul di luar sahaja. Umar tidak puas hati dengan tindakan nabi saw yang akur dan tunduk dengan sekatan musyrikin itu lantas bangkit mengemukakan bantahan. “Tidakkah engkau ini rasul yang diutuskan?”, ”Tdkkah kita ini agama yang benar dan mereka itu sesat?”.

Kata nabi saw: “Aku tidak dapat buat melainkan apa yang diperintahkan oleh Tuhan ku sahaja”.

Umar diam dan menyesal dengan perbuatannya itu. Kata Umar: “Setiap kali aku kenang bantahan aku terhadap rasul, aku akan beristighfar dan menangis kepada Allah”.

Kita kena jelas dalam hal ini, para rasul adalah orang pilihan Allah yang menjadi wakil-Nya di dunia ini. Setiap ucapan, perlakuan, tindakan dan cara ibadah nabi saw adalah berkait langsung dengan Allah. Sebab itu kita mesti mengikut sunnah2 baginda tanpa mempertikaikan atau merubahnya sesuka hati. Dan sebab itu jugalah kita katakan sunnah dan cara nabi itu adalah yang terbaik. Sebab ia datang langsung daripada Allah. Maka tidak mahu mengikut rasul bermakna tidak mahu mengikut Allah. Menyanggah rasul bermakna menyanggah Allah yang menghantar rasul. Menghina dan memperlekehkan rasul, maka rosaklah akidah.

Kita hendaklah sentiasa membenarkan kata-kata rasul saw dan akur terhadap sesuatu yang sahih daripadanya walaupun logik atau perasaan kita pahit untuk menelannya. Pernah suatu masa sahabat memaki seorang peminum arak, tetapi nabi melarangnya: “Jangan engkau cerca dia, kerana aku tahu di dalam hatinya ada perasaan cinta Allah dan rasul”. Ibnu Taimiyyah dalam kitabnya Majmu’ Fatawa menulis: “Bagaimana boleh berhimpun antara minum arak dan cinta Allah & rasul? Tetapi demikianlah perkataan rasulullah”.

Begitu jugalah hendaknya kita ini akur kepada hadis2 nabi saw tanpa banyak mempertikaikan kesesuaian dan kesempurnaannya. Selagi sahih ianya drp rasul, maka selagi itulah kita perlu yakin bahawa perkara itulah yang terbaik untuk dicontohi. Orang kristian mungkin sukar untuk meniru Jesus kerana Jesus itu ‘anak tuhan’. Pengikut Budha tidak mungkin mampu menirunya kerana Budha telah bersifat dengan sifat-sifat ketuhanan. Tetapi Muhammad bin Abdullah telah menjalani hidupnya di atas tabiat-tabiat keinsanan yang sama seperti kita. Baginda makan, baginda minum, baginda berkahwin, baginda tidur, dan baginda bersosial seperti manusia2 lainnya. Maka tidak ada alasan untuk kita tidak dapat menjadikan baginda nabi saw sebagai contoh terbaik dalam kehidupan.

(2) .....
Baginda nabi saw adalah orang yang paling gigih berjuang dan berkorban menyebarkan risalah islam sepanjang hidupnya. Maka wajib untuk kita beriqtikad bahawa baginda telah menyampaikan semua risalah agama ini kepada kita. Namun kita berasa sedih apabila ada orang (tambah mengecewakan apabila ia daripada kalangan ustaz) yang masih lagi percaya ada zikir-zikir dan amalan-amalan tertentu yang mana nabi saw khabarkan hanya kepada sahabat tertentu; dan sekarang ini amalan tersebut juga tersebar melalui guru2 dan orang2 tertentu sahaja. Tidakkah mereka sedar bahawa perbuatan mereka itu secara tak langsung telah menuduh baginda rasul saw menyembunyikan risalah agama (wahyu) daripada pengetahuan umum. Tidakkah mereka tahu bahawa rasul itu bersifat dengan sifat yang siddiq/benar, amanah, tabligh/menyampaikan dan fathonah/bijaksana. Tidakkah mereka dapat faham daripada sifat2 tersebut bahawa rasul itu amanah dalam menyampaikan ajaran Allah. Kita hendaklah sedar bahawa baginda nabi adalah seorang yang sangat sayang dan kasih kepada umatnya. Maka mustahil baginda menyembunyikan doa, zikir atau apa-apa amalan yang baik daripada pengetahuan umatnya. Sudah tentu segalanya telah diajar dan disampaikan dengan amanah kepada para sahabat keseluruhannya; kerana baginda ingin kita selaku umatnya ini selamat daripada api neraka. Janganlah disebabkan teruja dengan zikir dan doa-doa khas tertentu, maka kita menggadaikan akidah kita dengan menuduh rasul melakukan penyelewengan dalam tugasnya.

(3) .....
Apabila kita mempelajari sirah para nabi dan para sahabat, kita sepatutnya lebih dapat menapis maklumat2 yang salah atau anasir2 yang boleh menyelewengkan akidah kita. Kita tahu bahawa baginda nabi saw cedera ketika berdakwah di Taif dan para sahabat ramai yang gugur syahid di medan perang. Tetapi malang apabila ada kumpulan2 silat tertentu yang mendakwa mereka atau guru mereka menjadi kebal atau tak lut dek senjata setelah membaca ayat quran tertentu. Benar ia kebal atau tidak bukan menjadi persoalannya, tetapi menyandarkan kepada ayat quran itu yang kita pertikaikan. Nabi saw bukan setakat membaca al-quran, lebih daripada itu al-quran diturunkan kepada baginda. Namun baginda cedera dan gigi baginda patah di medan Uhud, bapa saudara nabi - saidina Hamzah gugur syahid, malah Umar al-Khatab yang tersangat wara’ itupun mati ditikam ketika sedang solat. Jika benar ada ayat al-quran tertentu yang membolehkan kita kebal, sudah tentu nabi dan para sahabat terlebih awal menggunakannya daripada kita. Mereka itu lebih patut mendapatnya kerana mereka lebih ikhlas dan bersungguh dalam berjuang menegakkan agama islam. Maka janganlah cepat terpedaya dengan seseorang yang mendakwa dirinya kebal kononnya dengan membaca ayat al-quran. Ini semua tipu daya syaitan yang sentiasa bijak menyelewengkan akidah umat manusia.

(4) .....
Begitu juga hal yang sama jika kita masuk ke alam perbomohan. Kita akan terkejut dengan kemampuan bomoh/dukun mengetahui perkara2 ghaib tertentu seperti mengetahui dengan tepat kedudukan sesuatu barang yang hilang dan menuduh dengan yakin bahawa orang2 tertentu bertanggungjawab terhadap seseorang yang terkena ‘buatan org’. Kita tidak hairan jika ramai yang terpedaya dengan bomoh kerana kebanyakan mereka memulakan jampi2 mereka dengan bacaan ayat2 suci al-quran. Kita akan bertambah yakin lagi apabila ada bomoh yang mampu memberitahu sesuatu yang menjadi rahsia dalam keluarga kita. Malah lebih terkejut apabila mereka mampu menampakkan imej/wajah orang tertentu di dalam bekas air. Percaya atau tidak, ianya sama seperti yang diceritakan oleh P. Ramlee dalam cerita Nujum Pak Belalang.

Nabi saw apabila datang dua orang yang bergaduh disebabkan sesuatu perselisihan, baginda nabi menyelesaikan dan menjatuhkan hukuman berdasarkan bukti2 dan hujah2 yang zahir sahaja. Yang demikian itulah sepatutnya kita mencontohi baginda, bukannya dengan menuduh dan meramal tanpa berdasarkan kepada bukti2 yang zahir. Baginda selaku kekasih Allah tidak meminta bantuan wahyu supaya dikhabarkan siapakah orang yang benar dan siapa pula yang bersalah. Ini menunjukkan selain daripada apa yang dikhabarkan melalui wahyu, baginda nabi sendiri pun tidak tahu tentang perkara ghaib dan perkara masa depan. Malah tidak mungkin ada manusia yang mampu mengetahui perkara ghaib dan tersembunyi ini melainkan ianya telah diperdaya oleh jin dan syaitan. Jika nabi saw tidak tahu, bagaimana manusia lain mampu tahu? Sedang nabi saw itu lebih baik dan lebih dekat dengan Allah swt.

Begitu jugalah halnya dlm ramalan horoskop, ramalan bintang, ramalan sikap dan perlakuan berdasarkan warna kulit atau warna kegemaran atau berdasarkan garis tapak tangan; serta perkara2 yang seangkatan dengannya. Semua ramalan ini tidak berdiri di atas fakta dan bukti saintifik yang kukuh. Mempercayainya boleh menyebabkan tergelincir akidah. Sesuatu ramalan mestilah mempunyai prosedur atau teknik ramalan yang diiktiraf oleh fakta ilmu. Contohnya seperti ramalan cuaca yang berdasarkan pergerakan awan, kelajuan angin dan perubahan suhu. Namun membuat ramalan dengan hanya sekadar melakukan survey terhadap beberapa kerat orang sahaja tidaklah boleh dikatakan suatu ramalan yang tepat dan boleh dipercayai walaupun ramalan itu mungkin menjadi kenyataan bagi sesetengah orang. Ini semua tidak lebih melainkan suatu bentuk ujian daripada Allah terhadap akidah hamba-Nya.

Semoga kita semua berakidah dengan akidah nabi Muhammad saw dan para sahabat. Dan semoga akidah yang suci lagi bersih ini menjadikan kita bertambah taat kepada Allah dan rasul serta kuat dalam mengharungi lautan hidup yang membadai. InsyaAllah...

2 comments:

Anonymous said...

Bila baca post2 pada blog encik daniel, saya dapati encik adalah org yg x faham agama. Encik jga x faham tntg konsep sir wa hazar serta konsep baiah dlm jemaah islam. Cara encik mengkritik pun kami tahu dah encik ni masih belum faham dgn jemaah islam kampus kerana fikrah encik sndiri masih belum jelas. Mgkin terpedaya dgn sogokan duit dari umno atau rebah dlm tipu daya duniawi sehingga snggup mengutuk jemaah islam itu sendiri

danialle said...

Maaf. Dari awal blog ini sy sgt menekankan hujah dlm menulis dan berkomentar. Terpedaya? Sogokan? Umno? Duniawi? Ini bukanlah hujah yg baik. Sy amat merindui perbincangan yg dipenuhi hujah2 ilmiah sehingga terang dimana duduknya saya, lantas berpeluang membetulkan yg salah dan mengukuhkan yg benar. Kerana apa yg sy tahu, agama ini besoknya menuntut kita membawa apa yg kita faham, bukannya apa yg kita ikut org kebanyakan lakukan. Carilah dimana letaknya jemaah dlm islam, bukan dimana letaknya islam dlm jemaah. Ketika itu kita akan sedar betapa luas dan lapangnya dada islam ini.