Sunday, February 04, 2007

Bersatu Teguh, Bercerai Roboh

Hari ini kita melihat terlalu banyak kerosakan yang berlaku dalam masyarakat. Mungkin orang ramai sudah muak untuk membaca apabila kita menulis artikel mengenai kes-kes sebegini berulang kali. “Asyik-asyik cerita pasal rogol, ragut, rompak, dadah, rasuah…dah takde benda lain ke nak bincang?” Sebenarnya bukan masalah tiada isu untuk dibincangkan, tetapi memang itulah isunya. Selagi perkara-perkara yang merosakkan bangsa dan negara ini tidak diselesaikan, selagi itulah kita mesti terus menghangatkan perbincangan tentang isu ini agar semua pihak memandangnya secara serius.

Banyak orang yang boleh bercakap dan mengulas panjang tentang perkara ini. Tetapi amat sedikit orang yang betul-betul sanggup mengorbankan masa, tenaga dan wang ringgit untuk membanteras masalah ini. Janganlah sekadar bercakap, kita mestilah bergerak dan bekerja demi menanganinya agar penurunan kes-kes tersebut dapat dilihat dari masa ke semasa.

Hendaklah kita bersatu padu dan bekerjasama menjayakan usaha ini tanpa mengira pihak kerajaan atau pihak pembangkang dan bukannya saling menuding jari antara satu sama lain seperti mana yang pernah berlaku dalam ‘Debat Perdana TV1’ ketika membincangkan berkenaan penagihan dadah. Panel undangan saling menyerang satu sama lain sehingga mewujudkan suasana tegang. Malah ada panel yang bersikap tidak profesional sehingga menidakkan peranan pengerusi majlis. Lebih malang apabila panel tersebut berfikiran ‘beku’ kerana tidak mahu menerima pandangan orang lain, malah begitu pantas menyampuk hujah-hujah panel lain yang mana belum pun habis bercakap. Seolah-olah yang dicari ialah kemenangan dan bukannya kebenaran. Akhirnya debat tersebut berakhir tanpa resolusi yang jelas. Ahli panel hadir dengan membawa pemikiran masing-masing dan akhirnya bersurai pun dengan membawa keras kepala masing-masing.

Sepatutnya program sebegitu berakhir dengan satu kesimpulan atau resolusi yang dipersetujui oleh majoriti agar tindakan susulan dapat diambil dan penonton dapat keluar dari dewan atau menghabiskan tontonan melalui televisyen dengan satu fikiran dan matlamat yang sama terhadap penyelesaian masalah yang diperdebatkan. Bagaimana kita hendak menyelesaikan masalah sedangkan pada tahap perbincangan pun kita sudah bertelagah.

Inilah masalah yang mendukacitakan kita. Kita tidak akan berjaya mencegah masalah-masalah ini jika langkah-langkah pencegahan dan pemulihan tidak dilaksanakan dengan bijak, malah dirosakkan pula oleh unsur-unsur politik dan emosi. Dengan sikap sedemikian, entah apa jenis penyakit lagi yang bakal dihidapi masyarakat dan semakin lambatlah proses pemulihan kerosakan ini.

p/s: Tulisan ni saya pernah hantar kat satu majalah utk ruangan pembaca. Tp tak release pun. haha...tak cukup kualiti kot. Dah lama dh saya tulis artikel ni, dah lapuk pun isunya. Tapi drp simpan dlm pc je, elok gak saya paste kat blog ni. Dah derang xnak publish tulisan aku...aku publish sendiri la. Kui3x.

Peribadi Muslim

Kamal : Amir, sekejap! Aku ada hal sikit nak cakap dengan kau.

Amir : Apa dia?

Kamal : Duduk la dulu Mir... Aku nampak kau berdua-duaan dengan perempuan tadi.

Amir : Alah, kau ni pun sama dengan orang lain! Suka anggap yang bukan-bukan. Kami bukan buat apa-apa. Kami cuma berbincang pasal pelajaran je.

Kamal : Tapi kenapa berdua sahaja?

Amir : Aku senang belajar dengan dia. Kalau ramai-ramai, nanti tak boleh fokus pulak. Aku tak rasa tindakan aku tu salah. Lagipun tempat ni ramai orang.

Kamal : Mir…kalau la kau ni memakai jubah dan kopiah, adakah kau akan duduk dengan dia seperti tadi?

Amir : Dah tentu la aku takkan buat begitu.

Kamal : Kenapa?

Amir : ??... Sebab pakaian tu menunjukkan ciri-ciri Islam. Seolah-olah aku ni menghina Islam pulak. Lagipun, malu la aku. Nanti org kata, “Pakai macam ustaz, tapi duduk berdua-duaan”.

Kamal : Jadi…adakah ketika kau tidak berpakaian seperti itu, Islam tidak ada dalam diri kau?

Amir : ??!!!